KUALA LUMPUR: Inix Technologies Holding Bhd (Inix) membeli 51 peratus kepentingan dalam pengeluar sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn Bhd (L&S Glove).
Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata ia adalah langkah terkini dibuat kumpulan itu untuk memasuki sektor sarung tangan getah.
Katanya, Lembaga Pengarah Inix sudah melawat tapak ke kilang milik L&S Gloves di Beranang, Selangor semalam dan selepas berunding, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum perjanjian (MoA) rasmi hari ini.
“Syarikat kami telah aktif meninjau peluang untuk membangunkan perniagaan baharu dan mencipta nilai untuk syarikat dalam tempoh beberapa bulan ini.
“Ini termasuk penyertaan kami ke dalam industri arung tangan getah. Syarikat telah membayar 45 peratus deposit untuk mengambilalih L&S Gloves.
“Kami percaya pengambilalihan ini akan memberi sumbangan positif kepada keuntungan masa depan kumpulan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
L&S Gloves mempunyai dua barisan pengeluaran di kilangnya di Beranang.
Sementara itu Pengarah L&S Gloves, Teo Yoek Leong, berkata pihaknya berbesar hati kerana akhirnya boleh mengembangkan perniagaan sarung tangan getahnya ke pasaran antarabangsa dan membantu dalam melawan pandemik COVID-19.
“Kami akan memastikan yang dua barisan pengeluaran ini akan dapat digerakkan serta merta. Kami merancang untuk mengembangkan pengeluaran sehingga 14 barisan dalam tempoh setahun ini.
“Jumlah pelaburan Inix ke dalam projek ini dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM50 juta,” katanya.
Pada jam 5 petang, saham Inix ditutup pada harga 33 sen, naik 24.5 peratus atau 6.5 sen daripada harga pembukaan iaitu 28 sen.
Syarikat itu juga muncul antara saham paling aktif didagangkan dengan 264 juta saham bertukar tangan sepanjang hari dagangan.